Official
cfos
website
(program and
activities)
Setakat ini ada lapan hak asasi pengguna telah diterima secara universal. Selain daripada mengiktiraf 15 Mac sebagai Hari Hak Hak Pengguna sedunia aspek-aspek hak asasi pengguna ini diambilkira apabila negara menggubal, meminda atau mengkaji semula sesuatu undang-undang atau dasar-dasar yang ada hubungkait dengan pengguna.
1. HAK UNTUK MENDAPATKAN KEPERLUAN ASAS
Sebagai seorang pengguna kita berhak untuk mendapatkan keperluan asas yang munasabah bagi meneruskan kehidupan seperti mempunyai makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, kemudahan awam, air dan sanitasi.
2. HAK UNTUK MENDAPATKAN BARANGAN DAN PERKHIDMATAN YANG SELAMAT
Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan atau kehidupan.
3. HAK UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT
Pengguna berhak untuk diberitahu fakta-fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta pelabelan yang tidak jujur atau menglirukan.
4. HAK UNTUK MENDAPATKAN PILIHAN
Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.
5. HAK UNTUK MENYUARAKAN PENDAPAT
Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.
6. HAK UNTUK MENDAPAT GANTI RUGI
Pengguna berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.
7. HAK UNTUK MENDAPATKAN PENDIDIKAN PENGGUNA
Pengguna berhak untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan, serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.
8. HAK UNTUK HIDUP DALAM ALAM SEKITAR YANG SIHAT DAN SELAMAT
Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak berbahaya kepada generasi masa kini serta generasi akan datang.